UB003 Suara Rakyat, Isyarat Perubahan: Membaca Mood Pilihan Raya Umum 2018

250905 SIRI #UMNOBangkit 

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada 9 Mei 2018 bukan sekadar satu episod pertukaran kerajaan. Ia adalah referendum rakyat terhadap hala tuju negara dan gaya kepimpinan pada ketika itu. Suara rakyat yang diterjemahkan melalui kertas undi menjadi isyarat paling jelas bahawa masa depan Malaysia tidak lagi boleh dipandu dengan cara lama. Untuk UMNO, keputusan PRU14 adalah mesej keras bahawa parti ini telah hilang sentuhan dengan denyut nadi rakyat. Pahit, namun ia adalah kenyataan.

Gelombang Ketidakpuasan: Dari Bandar ke Desa

Sebelum PRU14, keresahan rakyat dapat dikesan melalui pelbagai saluran. Di bandar-bandar besar, isu kos sara hidup yang tinggi menjadi rungutan utama. Kenaikan harga barang, pelaksanaan GST, dan kegagalan gaji untuk menampung keperluan asas menjadi bahan bualan harian. Di pasar, kedai kopi, dan media sosial, topik yang berlegar ialah “hidup semakin susah.” Respons ringkas di sini, kerajaan, siapa pun yang pimpin perlu lebih cepat beri respons sesuai dengan lebih cepat berbanding abad 20, kerana perkongsian komunikasi sudah terlalu pantas dan melebar. Lihat kesan kelambatan Indonesia (Ogos 2025) menjelaskan sebaran tarian di DPR yang dikaitkan secara tidak benar dengan kenaikan elaun ADPR! Berlaku demonstrasi yang menyebabkan banyak harta awam musnah, dibakar dan beberapa jiwa terkorban. 

Di luar bandar pula, walaupun UMNO masih mempunyai jaringan akar umbi yang kuat, nada ketidakpuasan semakin ketara. Pengumuman projek pembangunan berskala besar atau kecil tidak lagi cukup untuk menenangkan hati rakyat. Sebaliknya, mereka mahu penyelesaian kepada masalah seharian: harga getah yang rendah, peluang pekerjaan yang terbatas, dan kesusahan anak-anak muda mencari pendapatan.

Isu Skandal dan Krisis Keyakinan

Selain faktor ekonomi, isu integriti kepimpinan turut mencorak mood rakyat. Persepsi skandal kewangan yang melibatkan nama negara di peringkat antarabangsa bukan sahaja menjejaskan reputasi Malaysia, tetapi juga menghakis keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai parti pemerintah.

Rakyat membina tanggapan bahawa parti seolah-olah lebih sibuk mempertahankan individu tertentu daripada menjaga maruah negara. Naratif “semuanya fitnah” gagal menembusi minda rakyat kerana persepsi sudah terbentuk terlalu mendalam. Bagi ramai pengundi, skandal itu adalah simbol kegagalan moral UMNO. Apabila ada pengganti yang berjaya memukau persepsi awam bahawa mereka lebih bersifat malaikat, rakyat yang kecewa mudah percaya. Mereka percaya bukan kerana ada bukti untuk dipercayai, tetapi memadai menjadi pengganti parti yang telah mereka tolak. “Apa-apa pun, tengok kemudian.”

Sama ada sebahagian atau semua perkara ini benar atau hanya fitnah yang ditabur, tidak perlu kita bahaskan di sini, kerana perkara-perkara sebegitu sudah pun dipercayai dan menyebabkan UMNO/BN hilang kuasa. Kita move on! Cari jalan untuk bina semula kekuatan yang lebur dan bentuk semula kepercayaan yang hilang. Namun kepercayaan dan kekuatan tidak akan hadir cuma dengan semangat dan harapan. Ia perlu kepada tindakan berasas, tersusun dan berstrategi. 

Media Sosial: Gelombang Baru Politik

PRU14 juga membuktikan kuasa media sosial sebagai medan utama pertempuran politik. Pakatan Harapan bijak menggunakan Facebook, Twitter, YouTube, dan WhatsApp untuk menyampaikan naratif mereka. Video pendek, infografik, dan siaran langsung ceramah sampai terus ke tangan rakyat, tanpa tapisan, mendahului dan mengatasi media arus perdana.

Sebaliknya, UMNO dilihat masih terikat dengan strategi lama: iklan televisyen, kempen besar-besaran, dan retorik konvensional. Dalam era digital, pendekatan itu kelihatan ketinggalan. Anak muda khususnya, lebih terpengaruh dengan mesej ringkas dan visual yang dimuat naik saban hari oleh pihak pembangkang di media sosial.

Peranan Anak Muda dan Gelombang Generasi

Suara rakyat pada PRU14 juga ditentukan oleh kuasa undi generasi muda. Lebih 40% pengundi ketika itu terdiri daripada kelompok bawah umur 40 tahun. Golongan ini lebih celik maklumat, lebih kritikal terhadap kepimpinan, dan kurang terikat kepada tradisi kesetiaan parti. 

Situasi ini bertambah membebankan apabila diselidiki keahlian muda UMNO yang aktif dan berkesan di arena amat berkurangan. Tidak ramai anak muda yang berasa perlu sertai parti politik, dan situasi dalaman UMNO tidak menjadikan ia pilihan utama. Justeru UMNO miskin pembelaan daripada golongan muda.

Bagi mereka, isu peluang pekerjaan, gaji tidak sepadan, dan beban hutang pelajaran lebih dekat dengan realiti hidup berbanding retorik pembangunan mega. Malah, mereka berasa pembangunan itu jauh daripada kepentingan harian mereka. Malah, naratif perubahan yang dibawa oleh pembangkang dirasakan lebih segar, manakala UMNO gagal menampilkan wajah muda yang meyakinkan.

Nostalgia vs Harapan Baharu

Salah satu kelemahan UMNO dalam PRU14 ialah terlalu bergantung pada nostalgia. Parti sering mengulang kisah kejayaan lampau: kemerdekaan, pembangunan, kestabilan; seolah-olah itu sudah mencukupi untuk meyakinkan rakyat. Tetapi bagi generasi baru, kejayaan lalu tidak cukup untuk menjawab cabaran masa kini, malah kebanyakan mereka tidak dilahirkan untuk merasai semua itu sebagai kejayaan. Semuanya telah tersedia. Generasi baharu mahu kejayaan baharu yang hampir dengan kehidupan mereka.

Situasi ini berjaya dihidu oleh Pakatan Harapan dan hadir menonjolkan harapan baru, walaupun dengan janji yang sebahagiannya sukar ditunaikan. Bagi rakyat, janji perubahan lebih menarik daripada rayuan nostalgia. UMNO kelihatan sebagai parti masa lalu, manakala pembangkang menampilkan diri sebagai parti masa depan.

Simbolisme Tun Mahathir

Tidak boleh dinafikan bahawa faktor Tun Dr Mahathir Mohamad memberi impak besar dalam membentuk mood rakyat. Kehadirannya sebagai tokoh berusia lebih 90 tahun yang sanggup kembali ke gelanggang melawan bekas partinya sendiri memberi simbol kuat: jika beliau sendiri merasakan UMNO telah tersasar, maka rakyat tidak perlu ragu untuk menghukum.

Sekurang-kurangnya dua tahun sebelum PRU14, UMNO sudah pun diberi peringatan. Jika 2 peratus undi Melayu berpindah ke arah Pakatan Harapan, UMNO/BN akan kehilangan kuasa. Namun peringatan itu seolah-olah tidak meresap ke dalam alir kerja UMNO di Bahagian. Kehadiran Tun M dan beberapa mantan pemimpin UMNO lain ke kelompok pembangkang telah merealisasi jangkaan tersebut. Walaupun UMNO/BN masih menguasai jumlah undi sekitar 34 peratus, tetapi undi sekitar 46 peratus yang diperolehi oleh Pakatan Harapan cukup untuk menurunkan undi secara strategik di banyak kawasan Parlimen dan berjaya tubuhkan Kerajaan dengan 113 kerusi. UMNO/BN hanya dapat 79 kerusi, dan terus hilang kemampuan tubuhkan kerajaan semula. Lebihnya adalah bahan sejarah!

Tun Mahathir menjadi jambatan antara generasi lama yang pernah menyaksikan kegemilangan UMNO yang dahulu beliau pimpin, dengan generasi baru yang mahukan perubahan. Positifnya kepada UMNO kini, Tun M menjadi simbol bahawa perubahan bukan mustahil, walaupun melibatkan parti sebesar UMNO.

UMNO dan Isyarat Yang Tidak Didengar

PRU14 sebenarnya bukanlah kali pertama rakyat memberi amaran. Sejak PRU12 (2008) dan PRU13 (2013), UMNO sudah kehilangan majoriti dua pertiga, gagal tawan hingga lima negeri dan berdepan gelombang penolakan di bandar. Namun, isyarat itu tidak ditangani dengan serius. Sebaliknya, UMNO terus selesa dengan gaya lama, percaya bahawa kekuatan jentera dan tradisi akan cukup untuk mengekalkan kuasa.

Akhirnya, PRU14 menjadi kemuncak kepada amaran yang tidak diendahkan. Suara rakyat yang kecil pada 2008 dan 2013 membesar menjadi gelombang tsunami pada 2018.

Pengajaran dari Suara Rakyat

Dari pengalaman PRU14, jelas bahawa UMNO perlu menilai semula hubungan dengan rakyat. Beberapa pengajaran utama boleh diambil:

  1. Rakyat tidak boleh dipandang rendah. Mereka menilai dengan mata hati dan pengalaman hidup, bukan sekadar dengan imbuhan atau janji kosong.
  2. Isu seharian lebih penting daripada retorik. Harga barang, peluang kerja, dan masa depan anak-anak lebih dekat di hati rakyat berbanding projek mega.
  3. Media sosial bukan sampingan. Ia medan utama yang membentuk persepsi, terutamanya dalam kalangan anak muda.
  4. Kepimpinan mesti berintegriti. Rakyat sedia memaafkan kesilapan, tetapi tidak akan menerima pengkhianatan integriti.

Kesimpulan: Membaca Mood, Membina Harapan

PRU14 mengajar bahawa suara rakyat adalah isyarat perubahan yang tidak boleh dipandang enteng. UMNO tumbang kerana gagal mendengar, gagal membaca, dan gagal menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman.

Namun, dalam suara penolakan itu juga tersimpan harapan: rakyat masih mahukan parti yang benar-benar membela mereka, parti yang mendengar, dan parti yang jujur. Jika UMNO mampu menjadikan suara rakyat sebagai kompas pembaharuan, maka kekalahan 2018 bukan noktah, tetapi permulaan kepada kebangkitan semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *