Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124
Physical Address
304 North Cardinal St.
Dorchester Center, MA 02124

Semalam, Isnin 6 Oktober 2025, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 16 Sabah telah dibubarkan sebagaimana diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Nor. Pengumuman itu menamatkan spekulasi yang telah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu, kerana pemerhati politik tahu DUN Sabah akan terbubar secara automatic pada 11 November.
Sekarang seluruh negara sedang menunggu pengumuman oleh SPR mengenai tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Semua parti politik sedang masuk gear terakhir persiapan untuk menyusun jentera pilihan raya dan menetapkan calon-calon yang akan bertanding.
Pilihan raya Sabah pada kali ini dijangka agak tidak menentu, dan tidak ada pemerhati dan parti-parti politik yang akan bertanding boleh menuturkan dengan yakin tentang keputusan yang akan berlaku.
Ramai pemain dan pemerhati politik Sabah berasakan keputusan pada kali ini akan ditentukan oleh faktor kewangan. Siapa banyak wang, dia lebih berpeluang untuk menang.
Kenapa mereka bercakap tentang wang? Adakah pengundi Sabah mudah dibeli atau setiap mereka yang bertanding tidak memiliki sesuatu yang lebih bernilai daripada wang?
Sebenarnya, bukan hanya di Sabah, malah juga di Sarawak dan Semenanjung, perjuangan politik negara ini berkisar pada suka dan benci, dihimpun atas dasar ras dan diumpan dengan wang. Mereka tidak faham ideologi.
Malah, PAS dan DAP merupakan hanya parti-parti yang ada sedikit unsur ideologi. PAS atas nama Islam, walaupun banyak yang tidak selari dengan ideologi, tetapi ia tetap terkait kerana agama dipergunakan. DAP mirip kepada Sosialisme, walaupun ada yang cuba menafikan, atau memang DAP sudah melepaskan diri daripada akarnya.
Bagi PKR, Rafizi ada buat pengakuan bahawa dia menang di Pandan atas dasar kerja sukarela mereka yang menyokongnya, bukan wang. Pengalaman saya perhatikan pemilihan peringkat Cabang, ada cerita calon Ketua Cabang yang berbelanja sehingga RM100K, justeru saya tidak yakin PKR tidak berbelanja besar dalam PRU. Bagi UMNO, ia sudah menjadi cerita yang lali.
Namun, saya yakin PAS dan DAP juga tidak dapat lari daripada penggunaan wang yang banyak sewaktu menghadapi pilihan raya. Sanusi dari PAS pernah berkata dia jangkakan partinya perlu RM1 juta untuk perbelanjaan pilihan raya bagi satu Kawasan Parlimen untuk PRU16. DAP mungkin lebih cermat dalam membuat saranan terbuka, ataupun kerana perbincangan mereka tidak diuar-uarkan dalam media yang saya boleh baca.
Saya pernah menyaksikan satu makan malam besar di Johor Bahru menjelang pilihan raya umum 2013, yang disediakan oleh BN kepada orang-orang Cina, dibuat secara terbuka. Saya jangka perbelanjaan untuk satu orang adalah sekurang-kurangnya RM80-RM100. Untuk makan malam yang serupa, kalau dalam kalangan orang Melayu, kos untuk satu orang adalah sekitar RM15-RM25 untuk tahun-tahun waktu itu.
Oleh kerana DAP juga ada anjurkan makan malam bagi pengundi mereka, maka perbelanjaan sewajarnya serupa. Siapa yang bayar itu bukan perhitungan di sini, pokoknya, perlukan kepada wang yang banyak.
Dalam pilihan raya negeri Sabah nanti, PRN17, saya jangka perbelanjaan juga akan meningkat mendadak, kerana masing-masing pihak mahu menang, dan bilangan calon juga dijangka meningkat bagi tiap-tiap satu kerusi yang dipertandingkan. Mereka semua tahu, mereka perlu ‘bagi lebih’ daripada yang lain. Semua pemain politik percaya, ‘Kalau bagi belum tentu menang. Kalau tak bagi pasti kalah.’ Bagi apa? Mereka sudah jawab sebelum soalan tamat!
Pengundi yang agresif dan mereka yang punya ramai ahli keluarga menjadi kalangan paling beruntung!
Apa akan jadi kepada negeri? Adakah pilihan raya bererti memilih siapa yang bagi wang lebih banyak? Adakah para calon-calon itu memang amat pemurah dan suka berderma? Dari mana pula datangnya sumber kewangan mereka untuk berbelanja begitu besar? Atau, adakah penglibatan dalam pertandingan untuk memenangi kerusi DUN adalah pelaburan yang akan dikaut laba jika berjaya? Laba itu dari mana pula?
Sama ada telahan penggunaan wang yang banyak ini benar atau tidak, ia sudah semacam menjadi penantian oleh rakyat yang mengundi. “Ah! Peluang lima tahun sekali.”
Seriusnya, saya tidak menulis hanya untuk cerita tentang ‘kegawatan’ sikap pemain politik dan pengundi kita. Semua ini cerita-cerita yang sekiranya benar, hanya akan membawa semua kita ke jurang kehancuran. Jika keputusan pilihan raya ditentukan oleh mereka yang menerima suapan, semestinya negara ini adalah sebuah negara rasuah yang berakar daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat.
Kalau pada zaman awal Merdeka, pilihan raya ditentukan oleh pegangan kepada kepentingan ras dan kepercayaan kepada perlunya pembangunan. Itu pun tidak ada ideologi yang terlibat.
Dalam pemerhatian saya, ideologi payah laku di negara ini. Ia payah laku kerana ia susah difahami, payah diamalkan, dan ada alternatif lebih mudah, iaitu ‘emosi.’ Emosi boleh dibuai oleh tulisan dan ucapan. Emosi tidak berbekas apabila diatasi dengan emosi lain lebih hampir dengan jiwa. Kemahuan kepada wang adalah emosi paling ampuh untuk mengatasi emosi berasas ras, malah agama sekalipun. Ia nafsu yang tiada sempadan.
Mereka yang berpegang kepada moral dan etika akan berasa payahnya membaiki manusia. Mereka yang prihatin tentang masa depan negara akan berasa payahnya perjuangan. Mereka yang benar-benar beriman akan buat keputusan hendaklah tetap berada dalam garis sempadan menentukan halal dan haram.
Pejuang Islam sebenar akan faham, bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan bersifat ideologi. Bukan kemenangan di dunia yang mereka cita-citakan, tetapi keredaan Allah yang mahu mereka raih.