Dr. Hj. Mohd Fauzi Bin Shaffie

UMNO, Idealisme & Keadilan Ekonomi

Sekitar beberapa minggu lepas saya ada menulis beberapa kali mengenai idealisme perjuangan parti-parti di Malaysia berbanding dengan UMNO.

Saya tidak membuat analisis mengenai idealisme parti-parti lain, cuma sekadar menyatakan secara umum demi menunjukkan bahawa UMNO pernah mempunyai idealisme yang unik sejak sebelum Merdeka, iaitu Agama, Bangsa dan Tanah Air, atau ABATA.

#UMNO #IDEALISME #KeadilanEkonomi

Sekitar beberapa minggu lepas saya ada menulis beberapa kali mengenai idealisme perjuangan parti-parti di Malaysia berbanding dengan UMNO.

Saya tidak membuat analisis mengenai idealisme parti-parti lain, cuma sekadar menyatakan secara umum demi menunjukkan bahawa UMNO pernah mempunyai idealisme yang unik sejak sebelum Merdeka, iaitu Agama, Bangsa dan Tanah Air, atau ABATA.

Namun keunikan tersebut sudah malap apabila PAS bergabung dengan PPBM, di mana PAS secara konsisten mengajak kepada pelaksanaan Islam, dan PPBM membuat kelim bahawa mereka juga menyanjung ABATA, dan berhasrat menggantikan UMNO.

Malah, apabila PAS meluru kehadapan dalam parti gabungan PN, kerana kehadiran mereka yang berakar, kelihatan lebih mempunyai daya tarikan untuk dipercayai dapat menerajui perjuangan ABATA yang tertampal pada slogan PPBM, khususnya dalam kalangan mereka yang tidak aktif dalam arena politik.

PPBM yang memimpin puncak kuasa mampu menjana bekal kewangan yang besar untuk turut membantu PAS yang selama ini agak kekeringan, dan mencukupkan ramuan tawaran kepada pengundi: idealisme dan kewangan. Natijahnya, kita sudah tahu termaktub dalam keputusan PRU15.

Dr. Hj. Mohd Fauzi Bin Shaffie
2009 – Dr. Hj. Mohd Fauzi Bin Shaffie

Tujuan saya menulis pada kali ini adalah untuk mengemukakan kepada UMNO agar hadir dengan idealisme baharu demi mencipta keunikan atau ‘niche’ idealisme perjuangan yang sudah malap, kerana sudah berzaman tidak berubah, dan sudah ditandingi oleh PN melalui PAS dan PPBM.

Walaupun ada rakan saya yang mengatakan kemunculan PN membawa idealisme tersebut hanyalah umpama api dalam kuali yang mudah terpadam kerana tidak cukup sumber bakar, namun saya percaya, sekali tercemar, keunikan itu susah kembali menyinar, dan UMNO harus hadir dengan keunikan baharu yang lebih relevan kepada rakyat zaman ini.

UMNO yang sudah berpakat dalam Kerajaan PH, yang di dalamnya wujud PKR dan DAP, mahu tidak mahu, wajib membawa slogan Kerajaan PH, iaitu ‘Malaysia Madani’. Saya percaya tidak lama lagi pengisian Madani akan semakin melebar, dan ABIM yang menjadi kilang idealisme PKR akan aktif mewacanakan pengisian tersebut.

Saya tidak terkejut jika wacana Madani ditaburi dengan idea-idea yang mewajarkan program-program me’Malaysia’kan beberapa idea yang agak ganjil dan tidak dikenali sebagai mencirikan idea tempatan sebelum ini. Ia akan digarap dalam sikap ‘menyantuni progres’.

UMNO tidak seharusnya hanyut dalam kempen tersebut, kecuali jika UMNO rela membenam diri ke dalam kemalapan berpanjangan. Yang akan tinggal hanyalah kerangka-kerangka struktur parti tanpa isi dan darah bergerak umpama mayat yang berjalan.

UMNO perlukan kepada idealisme baharu bukan semata-mata untuk menyatakan kepada umum tentang kewujudan mereka yang masih relevan, tetapi perkembangan Malaysia sebagai negara yang sudah merdeka hampir tujuh dekad semestinya sudah melakar keperluan baharu yang berbeza berbanding perjuangan menuntut merdeka.

UMNO sudah pernah hadir dengan program pengisian kemerdekaan paling ampuh di dunia dengan melaksanakan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), yang telah berjaya merubah struktur ekonomi rakyat negara ini.

Walaupun DEB gagal mencapai statistik yang diletak sebagai wawasan utama, namun polisi keadilan pendidikan yang turut terkandung dalam pelaksanaan DEB merupakan kejayaan paling bersejarah. Sungguhpun polisi dasarnya berkait ekonomi, keadilan ekonomi masih jauh tersasar.

Saya tidak berhajat untuk bahaskan sebab dan akibat dalam tulisan ini. Semoga kita ada kesempatan lain untuk perbahasan mengenai perkara tersebut.

Daripada penelitian ini, saya percaya, UMNO sewajarnya memimpin idealisme keadilan ekonomi untuk masa depan Malaysia. Idealisme ini akan disambut oleh pelbagai peringkat dan latar belakang keturunan rakyat, kerana, setiap bangsa dan keturunan sedang menghadapi kemelut ketiadaan keadilan dalam program ekonomi dalam negara ini.

Semoga Allah membantu saya untuk menulis secara lebih terperinci mengenai apa yang saya maksudkan sebagai #KeadilanEkonomi bagi negara ini dalam masa terdekat.

– DFS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *